Hujan Lebat Merata-rata

Hujan lebat selama dua hari berturut-turut. Banyak tempat di Lembah Kelang dilanda banjir, melalui info dari sebaran WhatsApp dan media sosial.

Parlimen Wangsa Maju pada satu ketika juga merupakan hotspot, terutamanya di Jalan Langkawi dan Jalan Genting Kelang (mungkin anda masih lagi ingat keadaan seperti sini -> https://www.facebook.com/watch/?v=473998413203968).

Saya pernah berkongsi sebelum ini, namun saya akan berkongsi sekali lagi. 2 tahun kebelakangan ini, projek naik taraf sistem pemparitan daripada pihak DBKL di beberapa tempat seperti berikut:
– Jalan Genting Kelang (depan PV128)
– Jalan Genting Kelang (depan Toyota/Danau Kota)
– Jalan Semarak Api (berdekatan Bangunan Forlong)
– Jalan Cengal (depan PV18)
– Jalan Ibukota
– Jalan Genting Kelang (penyelenggaraan oleh DUKE3)

Sehingga kini, tiada lagi laporan banjir kilat di jalan-jalan utama dalam Parlimen Wangsa Maju.

Mungkin terdapat isu pokok tumbang, tetapi saya telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan bantuan kecemasan Bomba atau JPAM ke kawasan terjejas.

Oleh kerana tiada insiden serius, saya tidak berkongsi banyak dalam media sosial berkenaan dengan banjir kilat. Ini sebenarnya perkara yang baik kerana keadaan terkawal di dalam Parlimen Wangsa Maju.

Banyak kawasan terutama di Klang dan Shah Alam terjejas. Syabas kepada wakil-wakil rakyat yang turun padang pada saat-saat genting ini. Saya berharap semua yang terdampar di dalam kawasan banjir agar mereka selamat kembali ke rumah masing-masing.

Sekian.

(Video dihantar oleh seorang kawan di Platinum Walk pada 18 Disember 2021)