KATA MP : Mencari usahawan Melayu

Amirul adalah pembantu penyelidik saya sehinggalah dia meletak jawatan untuk menceburi perniagaan kecil-kecilan. Saya bertemu dengannya minggu lepas dan dia tunjukkan kepada saya beberapa gambar cantik ikan laga yang dia ternak dan jual. Saya sangat kagum.

Dia memberitahu bahawa dia ada memohon geran kerajaan dan masih lagi menunggu jawapan. Namun dia tidak akan menunggu sahaja. Dia bersama enam lagi rakan, mengeluarkan modal sebanyak seribu ringgit setiap seorang telah memulakan kolam ternakan ikan hiasan tropika yang berpusat di rumah.

Kuantiti ikan yang diternak masih sedikit dan apabila jumlah itu bertambah nanti, dia memaklumkan kepada saya dia akan berpindah ke tempat yang lebih besar.

Perdagangan ikan hiasan dunia adalah perniagaan bernilai berbilion dolar dan Malaysia adalah antara pengeksport utama ikan hiasan tropika, dengan nilai eksport tahunan hampir RM400 juta.

Dengan keupayaan Malaysia untuk mendapatkan hasil lebih kurang 10 peratus di pasaran global, prospek untuk mengembangkan industri ini kelihatan cerah.

Mesti ada ribuan penernakan ikan kecil di negara ini dikendalikan oleh individu seperti Amirul. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kekangan modal dan teknologi, hanya beberapa ratus sahaja yang berjaya menembusi pasaran eksport.

Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1971, salah satu strategi utama untuk penstrukturan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan adalah untuk mewujudkan kelas usahawan Melayu yang luas.

Malangnya, di sebalik cita-cita yang gah, penciptaan kelas usahawan Melayu yang luas kekal sebagai cerita kosong. Ahli politik, pegawai kerajaan berpangkat tinggi, dan kroni-kroni serta saudara-mara lebih mementingkan borang bewarna merah jambu untuk pemilikan saham di papan niaga bursa, membentuk syarikat “Ali-baba” untuk melobi tender dan projek kerajaan, dan berjuang untuk jawatan dalam GLC.

‘Usahawan pseudo’

Justeru, DEB mengakibatkan kemunculan kelas usahawan ‘pseudo’ Melayu dan pemimpin korporat. Dr Mahathir Mohamad menegaskan di dalam bukunya The Malay Dilemma bahawa perlu mewujudkan kelas kapitalis Melayu demi bersaing dengan kelas kapitalis asing dan bukan Melayu.

Subsidi diberikan kepada pekebun kecil Melayu, petani, nelayan, dan peniaga kecil, namun tiada usaha yang banyak dilakukan untuk memodenkan sektor-sektor ini. Anak-anak kepada pekebun kecil, petani dan nelayan dihantar ke universiti supaya mereka dapat keluar daripada kemiskinan ini.

Sepanjang 22 tahun kepimpinan Dr Mahathir, kerajaan begitu taksub dengan mewujudkan imej negara maju sehingga sektor pertanian benar-benar diketepikan (kurang perladangan besar).

Ia sehingga ke tahap menamakan semula Universiti Pertanian Malaysia ke Universiti Putra Malaysia untuk mencerminkan “imej yang betul” kepada universiti.

Pada tahun 1983, Dr Mahathir melancarkan kereta nasional – Proton Saga, yang sebenarnya pada setiap sisi kereta tersebut adalah sebuah kereta Mitsubishi – dari prototaip ke kejuruteraan, platform dan rangka kereta itu, semuanya dibuat oleh Mitsubishi. Walau bagaimanapun, akhirnya, pemindahan teknologi yang dijangkakan tidak berlaku. Pada 2017, Proton akhirnya dijual kepada Geely, sebuah syarikat milik China, kerana kerugian.

Di bawah Dr Mahathir, PKS sering diabaikan dan tidak diberikan perhatian, apatah lagi industri mikro. Hanya pelaburan asing yang mempunyai teknologi tinggi dialu-alukan dengan pelbagai bentuk insentif dan keutamaan. Hanya pada tempoh 7 hingga 8 tahun yang lalu sumbangan PKS kepada ekonomi diiktiraf.

Baru-baru ini, saya pergi ke bengkel Hamzah Planet Steel, yang menghasilkan rod gril besi dan pintu pagar. Dia mempelajari kemahiran itu dari sebuah sekolah vokasional dan menjadi lebih mahir setelah bekerja.

Selepas 20 tahun berniaga, dia hanya mempunyai seorang pekerja dan anaknya yang masih bersekolah untuk membantunya. Dia adalah seorang usahawan mikro biasa. Dia memberitahu saya bahawa dia berharap anaknya akan mempelajari kemahiran dan mengambil alih perniagaan suatu hari nanti.

Adakah bengkelnya akan mempunyai peluang untuk dinaik taraf kepada kilang bersaiz kecil atau sederhana pada masa akan datang?

Pengalaman Taiwan

Taiwan memulakan perindustriannya pada tahun 70-an, kira-kira masa yang sama dengan Malaysia. Ia bagaimanapun mengambil pendekatan yang berbeza dalam pembangunan ekonomi.

Walaupun banyak usaha diberikan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), kerajaannya pada masa yang sama berusaha sepenuhnya untuk membangunkan industri PKSnya, yang kemudiannya telah membentuk tulang belakang ekonominya.

Keusahawanan, kecekapan, inovatif dan daya saing PKS menjadikan Taiwan sebagai salah satu daripada Empat Naga Kecil Asia (‘the Four Little Dragons of Asia’) pada tahun 80-an, selepas Jepun, Korea, dan Hong Kong.

Sejak itu, PKS Taiwan dengan teknologi, kepakaran dan dana yang berlebihan telah membuka banyak sempadan baru di luar negara dalam tempoh 30 tahun yang lalu.

Kerajaan Taiwan tidak meninggalkan sektor pertanian, petani kecil dan nelayan.

Hanya 24 peratus tanah di Taiwan ditanam dengan produk pertanian dan kebanyakan ladang adalah kecil, dengan saiz purata hanya 2.2 ekar. Tetapi melalui penggunaan mekanisasi dan teknologi canggih, nilai eksport tahunan keluaran pertanian adalah AS$ 5 bilion.

Taiwan juga mempunyai kapal nelayan terbesar di dunia dan terdapat 30,000 ladang ikan moden yang beroperasi dengan teknologi canggih di negara itu. Tamat sudah waktu para nelayan bekerja dari atas bot-bot kecil.

Dasar pembangunan yang pragmatik, praktikal dan polisi kerajaan yang mengutamakan rakyat menjadikan petani dan nelayan Taiwan kaya.

Dalam tempoh tiga dekad yang lalu, sebilangan besar penduduk luar bandar yang terjejas kemiskinan telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Ramai yang akhirnya bekerja dengan pendapatan yang rendah, menjadi penjaja dan pekerja sambilan, ada juga yang masih menganggur.

Semalam, ketika saya minum teh dengan beberapa ahli persatuan penduduk di hadapan flat Danau Kota, sekumpulan anak muda Melayu datang bercerita dengan saya dan bertanya sama ada saya boleh membantu mereka.

Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ingin memulakan perniagaan tetapi tidak tahu bagaimana dan di mana untuk bermula.

Saya memandang mereka dengan perasaan sedih dan marah. Untuk memuaskan ego seorang pemimpin, satu generasi sudah hilang. Legasi Dr Mahathir iaitu “Malaysia Boleh” telah membantutkan pertumbuhan usahawan Melayu dan menjadikan usahawan ‘pseudo’ Melayu sebagai jutawan dan meninggalkan yang lain dalam kemiskinan.

Satu perkara yang menenangkan hati saya adalah kemunculan sekumpulan pemimpin Melayu muda yang tidak percaya kepada mitos bahawa “Ketuanan Melayu” akan menjadikan orang Melayu kaya; dan mengisytiharkan kereta buatan asing sebagai kereta nasional kita tidak akan menjadikan Malaysia setanding dengan negara-negara maju dan berteknologi dan membayar yuran penumpang untuk menghantar seorang rakyat Malaysia ke angkasa tidak bermakna kita telah membangunkan teknologi ruang kita sendiri.

Mereka faham ‘pseudo-usahawan’ bukan usahawan. Penciptaan kelas usahawan Melayu yang luas perlulah bermula dari bawah.

Saya melihat sendiri bagaimana Rafizi Ramli melatih, membentuk, dan memberi motivasi kepada usahawan Melayu muda dalam perniagaan mereka melalui Invoke; saya lihat bagaimana Nurul Izzah pergi mempromosikan industri batik.

Terdapat banyak lagi yang mempunyai fikiran yang sama dan bergerak ke arah yang sama seperti pemimpin-pemimpin muda ini.

Mengubah sindrom “syok sendiri” yang telah disemai dalam masyarakat tidak akan mudah, tetapi saya yakin bahawa pada masa akan datang apabila pemimpin-pemimpin muda ini mengambil alih kerajaan, kita akan melihat pelaksanaan dasar pembangunan yang lebih pragmatik, realistik dan berteraskan rakyat.

Dr Tan Yee Kew merupakan Ahli Parlimen Wangsa Maju

Source: MalaysiaKini