Lawatan ke Kolam Renang Cheras

Semalam, satu lawatan tapak telah dilakukan untuk meninjau masalah Kolam Renang Cheras bersama YB Hannah Yeoh, Menteri KBS, Datuk Azman, Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Pn Carmen Leong, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur.

Ia menarik perhatian saya pada bulan Ogos tahun lepas, apabila pejabat saya mendapat lawatan daripada para pengadu berkenaan dengan keadaan kolam renang yang daif. Sebenarnya, ia tidak lagi sesuai untuk kegunaan awam apabila banyak kemudahan telah berusia dan satu persatu struktur mulai merosot. Boleh dibayangkan, jubin dalam kolam pecah sehingga mencederakan pengguna.

Saya berbincang dengan Datuk Bandar dan diusul kepada Setiausaha Politik PMX, dengan dokumentasi yang terperinci. Ini antara kes yang paling awal saya bawakan untuk perhatian DBKL pada bulan Ogos 2023.

Datuk Bandar membuat keputusan yang betul dengan menghadkan pengunaan fasiliti ini. Kolam Renang Cheras dibina pada 1984 dan sezaman dengan Stadium Bola Sepak Cheras. Apabila Stadium telah melalui pembinaan semula 10 tahun lalu, Kolam Renang Cheras masih beroperasi dengan infrastruktur yang asal sehingga tahun lepas DBKL terpaksa membenarkan penggunaan kepada hanya pelatih SukMA.

Meskipun ada cadangan untuk mereka atlit berlatih di Stadium MSN Bukit Jalil, tetapi fasiliti disini sentiasa penuh dengan latihan mereka yang bertanding di peringkat antarabangsa.

Isu ini bukan senang diurus. Bukan dengan sekadar berjumpa satu dua pegawai daripada agensi, mampu mendapatkan jalan penyelesaian. Ia memerlukam rancangan rapi kerana ia melibat perbelanjaan berjuta, kalau bukan berpuluh juta.

Rombongan kami semalam telah membuka mata. Kemerosotan kemudahan di sini lebih teruk daripada disangkakan. Saya dimaklumkan selepas SukMA, kolam renang ini akan ditutup pada bulan Ogos sementara menunggu keputusan.

Saya senada dengan Pengarah Jabatan Sukan, Tn Naquib di mana saya turut menerajui jawatankuasa sukan bersama Datuk Afdlin Shauki bersama. Kami juga dibantu oleh Jabatan Perlaksanaan Projek bawah Pn Hanum Ain.

DBKL sedang menyediakan kertas kerja untuk beberapa pilihan, termasuk cadangan pembinaan semula. Apabila dibandingkan dengan kos pembaikpulihan, membina semula fasiliti renang yang baru nampaknya lebih berbaloi untuk jangka masa panjang. Bagaikan sebuah kereta berusia 40 tahun, boleh dibayangkan jumlah yang perlu dibelanjakan.

Kehadiran YBM juga banyak membantu kerana apa jua keputusan boleh kami teliti bersama. Semoga kami mendapat jalan penyelesaian secepat mungkin.

Kepada para penggemar sukan renang, boleh ke premis alternatif di kolam renang DBKL Bangsar dan Arena Setapak buat sementara waktu dengan harga berpatutan.

Leave a Reply