Majlis Jalinan Masyarakat KRT Taman Rowther 2022

Demi mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kejiranan menjadi teras utama penganjuran Majlis Jalinan Masyarakat KRT Taman Rowther 2022 malam tadi.

Saya mengiringi Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew ke majlis ini semalam.

Pengerusinya, En. Mohamed Kathir Ali begitu bersemangat memberikan amanat walaupun dalam hujan, majlis dilangsungkan tetap meriah dan mendapat sambutan ramai.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Datin Paduka Dr Tan Yee Kew yang dijemput merasmikan majlis tersebut berkata dalam ucapannya;

“Banyak persatuan penduduk dan NGO menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas dua tahun tidak boleh mengadakan perayaan akibat SOP Pandemik Covid.

Saya telah menghadiri 19 majlis perayaan hari raya dalam tempoh sebulan ini. Saya rasa sudah cukuplah masa menyambut hari raya. Kita perlu kembali ke tempat kerja kita masing-masing dan bekerja keras membantu memulihkan ekonomi negara kita.”

Dengan keadaan ekonomi negara yang masih belum pulih, banyak belia yang gagal mendapatkan pekerjaan. Justeru, Dr Tan menyeru rakyat bangkit memilih pemimpin yang dapat membawa negara keluar daripada konflik dan kesusahan ini.

“Saya menyeru penduduk memilih pemimpin yang berkemampuan dan mempunyai kompetensi bukan sekadar hanya bercakap kosong.”

Pada kesempatan tersebut, Dr Tan turut menyumbang RM 10,000 kepada KRT Taman Rowther bagi membeli peralatan dan keperluan pejabat.

Majlis turut dihadiri mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib, OCS Balai Polis Setapak, Tuan Mohd Zambri Ruslan, Ketua Bahagian MCA, Datuk Ng How Doo, Wakil INSAF, En. Mustafa Ghazanfar, Pengerusi KRT Parlimen Wangsa Maju Hj. Zainal (yang juga AJK KEADILAN Wangsa Maju) , Pengerusi KRT Kampung Lee Kong Chian, En Kerk dan Pengerusi KRT Taman Melewar, Puan Jasmin.