Majlis Sambutan Hari Pekerja & Aidilfitri MADANI 2024 KEADILAN Wangsa Maju

Majlis Hari Pekerja dan Aidilfitri MADANI 2024 Wangsa Maju pada 1 Mei lepas mendapat sambutan yang baik daripada penduduk di Pusat Komuniti Gombak DBKL. Program ini merupakan anjuran bersama unit komuniti di PPR Gombak Setia, Wangsa Maju.

Hj Khair, yang juga AJK Cabang Wangsa Maju merupakan pengarah program kali ini. Semua NGO yang terlibat adalah Persatuan Penduduk (dimana Hj Khair merupakan pengerusi), KRT, Surau As Sakinah, KEMAS PPR Gombak Setia, PERKEBA, Kelab Belia dan PAWE Wangsa Maju.

Ramai kawan saya dijemput hadir, termasuk Datuk Afdlin Shauki, YB Altimet (ADUN Lembah Jaya), YB David Cheong (ADUN Kajang), Pn Napsiah dari Bidadari Malaysia dan Datuk Ibrahim, yang kini merupakan penasihat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Terima kasih juga kepada agensi-agensi kerajaan serta ketua-ketua parti komponen dari kerajaan perpaduan yang hadir. Program ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada kerjasama daripada DBKL sendiri, yang membenarkan kami menggunakan dewan yang berprestij ini.

Ada makanan ala kampung, cabutan bertuah, hiasan Raya, persembahan oleh penduduk sendiri sehingga kami terpaksa menolak tajaan orkestra DBKL. Saya tidak mempunyai anggaran pengunjung yang hadir, tetapi yang pasti makanan yang disediakan habis semua.

Ada ramai bertanya, memandangkan presiden parti saya sendiri telah menjadi Perdana Menteri, mengapa memilih kawasan PPR sebagai lokasi rumah terbuka? Jawapan saya – KEADILAN berjiwa akar umbi selama ini dan saya ingin kekalkan tradisi selagi boleh.

Leave a Reply