Selamat Hari Kebangsaan

MENCARI MAKNA KEMERDEKAAN SEBENAR 🇲🇾🇲🇾🇲🇾

Tanggal 31 haribulan Ogos setiap tahun, kita menyambut kedatangan Hari Kebangsaan.

Bagi edisi tahun ini, Malaysia sudah mengharungi 65 tahun sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Namun makna kemerdekaan sebenar yang sepatutnya kita syukuri dan nikmati, masih lagi kita tercari-cari malah semakin jauh dari pandangan.

Banyak yang telah berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini. Langkah Sheraton, pergolakan politik toksik, perebutan kuasa sesama sendiri, semua ini telah menyumbang kemerosotan daya saing Malaysia, apatah lagi pandemik Covid-19 yang telah menggerunkan seluruh dunia.

Semua itu mampu kita harungi. Tetapi apa yang lebih menakutkan daripada Covid-19 ialah adakah sikap keangguhan dan rasuah yang berleluasa dari kalangan bangsawan pemerintah terus tidak berpenghujung?

Cerita yang sama berulang – mereka di atas yang berkuasa menikmati kuasa dan mereka yang bekerja keras seumur hidup terus dikorbankan.

Isu seperti kapal tempur pesisir (LCS) adalah satu contoh klasik bagaimana mereka menjarah kekayaan negara semahu-mahunya. Malaysia telah menyaksikan hasil gejala rasuah yang tidak terhingga, serta-merta mengerdilkan isu 1MDB daripada rejim pimpinan yang sama.

Kini, mula nampak tanda-tanda hari penentuan pilihan raya. Rakyat mampu dan harus menilai. Tidak lagi rakyat akan terus tertipu dengan ketuanan mana-mana bangsa. Trak ‘INI USAHA KITA’ oleh gerakan rakyat atas nama ‘Ayuh Malaysia’ telah pun mula menjelajah ke seluruh negara.

Lihat di dalam kawasan masing-masing untuk memastikan calon KEADILAN yang sentiasa berkhidmat – mungkin bukan calon yang terbaik, tapi dialah calon yang paling sesuai.

Saya percaya, kita harus mencari makna sebenar kemerdekaan sekali lagi. Peluang saksama kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum, jaminan taraf hidup, pengagihan ekonomi serta kekayaan yang adil kepada rakyat jelata, pendidikan berkualiti untuk semua – itu yang dimartabatkan dalam agenda reformasi KEADILAN.

Sekiranya Pakatan HARAPAN yang tulen memenangi PRU sekali lagi, tanpa watak-watak pengkhianat dan penjilat, maka ia adalah makna sebenar kemerdekaan untuk semua rakyat Malaysia.

Ayuh Malaysia! Sama-sama kita rayakan semangat kemerdekaan dalam erti kata sebenar-benarnya apabila PH sekali lagi menumbangkan rejim penuh korup dan khianat terhadap mandat rakyat.

Bina Semula Negara – Ini Usaha Kita.

Salam Hari Kebangsaan 2022.

Andre Lai
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju