Mesyuarat bersama Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan

Setelah 3 tahun bertugas di sini, baru pertama kali saya berjumpa dengan Tuan Zaki Ismail, pengarah JPJ Wilayah Persekutuan meskipun sering menghubunginya melalu telefon.

Saya membawa beberapa isu berkenaan dengan penguatkuasaan JPJ dan kereta tersadai. Beberapa minggu lalu, saya sempat berbincang dengan Datuk Bandar berkenaan dengan kenderaan tersadai yang banyak di dalam taman-taman perumahan sekitar Kuala Lumpur.

Perlupusan hampir mustahil kerana ia memerlukan perintah mahkamah dan mengambil masa yang panjang. Buat masa sekarang, seperti dalam Seksyen 64 dan 65 dalam Akta Pengangkutan Jalan hanya penguatkuasa JPJ sahaja yang berhak menyita kenderaan motor serta memindahkan kenderaan yang rosak di tepi jalan.

Di samping itu, kita juga sempat berbincang berkenaan dengan rancangan JPJ terhadap pejabat-pejabat agen di luar premis, yang dijadualkan akan dipindah ke Bazaria Genting Kelang apabila bangunan baru disiapkan. Wujud kekhuatiran di kalangan mereka kerena mereka masih belum mendapat apa-apa notis pemindahan.

Menurut beliau, dalam masa beberapa tahun yang singkat ini akan ada perubahan yang besar melibatkan Ibu pejabat JPJ Wilayah Persekutuan, termasuk status PUSPAKOM yang tidak lagi menjadi syarikat pemeriksaan kenderaan yang mutlak.

Perjumpaan tidak-rasmi selama 40 minit membawa hasil yang baik. Saya akan menyampaikan hasrat Tn Zaki kepada Datuk Bandar berkenaan dengan penubuhan Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply