Naiktaraf jalan di Kampung Setia Jaya

Kampung Setia Jaya meskipun terletak dalam Kuala Lumpur, tetapi ia tidak pernah menikmati infrastruktur yang baik kerana status tanahnya. Walaubagaimanapun, keperluan asas penduduk harus diambil perhatian. Selama berpuluh tahun lamanya, kampung ini tidak pernah mendapat jalan yang sempurna.

Saya mengambil inisiatif untuk menolong kampung ini, bermula dengan turapan jalan tahun lepas di bawah projek ICU di mana sebahagian daripada Jalan Jaya 1 mendapat naiktaraf baru. Tahun ini, saya meneruskan dengan mendapatkan turapan untuk setiap laluan utama dalam kampung, dari Jalan Jaya 1 sehingga Jalan Jaya 4, bermula dari laluan belakang TAR UMT.

Saya mempelawa rakan setugas Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Ir Hayatul Kamil untuk meninjau kerja. Turut bersama dalam lawatan ini adalah sahabat baik saya Datuk Sabtu, Ketua Kawasan Amanah, Sdr Asri Pengerusi Persatuan Penduduk Kg Setia Jaya, Sdr Azmee Nain Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Hj Osman dari Surau Madinah serta Sdr Syukri dan Sdr Mahathir (Chedet), Timbalan & Naib Ketua Kawasan Amanah.

Projek ini mengambil masa 7 hari, dengan jumlah turapan yang besar melebihi 2 kilometer. Lapisan tar baru jalan memang memberi keselesaan kepada pengguna kenderaan.

Saya bersyukur kepada Dato Kamarulzaman, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pengarahnya Tn Hj Abdul Rahman atas kelulusan permohonan ini. Semoga banyak lagi projek infrastruktur dapat dimanfaatkan kepada kawasan kampung-kampung.