Pelancaran Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040

Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (Draf PTKL2040) merupakan kerangka utama terhadap pelan pembangunan Kuala Lumpur yang disediakan bagi menterjemah visi serta matlamat yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.

Draf PTKL 2040 ini secara khusus memberikan penekanan terhadap perancangan cadangan zon guna tanah dan intensiti pembangunan secara spesifik ke atas setiap lot tanah di Kuala Lumpur.

YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) hari ini telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bertempat di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Draf PTKL 2040 kini boleh disemak oleh orang ramai, bermula dari 31 Januari 2024 sehingga 1 Mac 2024, di Menara DBKL 1 dan 3 serta menerusi pameran bergerak yang akan diadakan di 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur. Warga kota adalah dipelawa untuk mengemukakan pandangan atau cadangan di lokasi pameran atau secara atas talian di laman sesawang https://ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan/

DBKL juga akan mengadakan sesi taklimat di tingkat 30, Menara DBKL 1 pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Hadir sama di Majlis tersebut adalah YBhg. Datuk Sr Hj. Kamarulzaman bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Pengarah-Pengarah Eksekutif DBKL, Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, wakil agensi kerajaan, wakil badan bukan kerajaan serta wakil dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP).

#KLBandarUntukSemua
#bandarmampanbandarsejahtera