Pengamal Media, Pengusaha Rumah Kebajikan & Ramai Warga Emas Tidak Dapat Perhatian Vaksinasi

23 Jun 2021, Wangsa Maju – KEADILAN Wangsa Maju berharap orang ramai tidak meminggirkan rumah kebajikan semasa perang mengharungi Covid 19, sebaliknya tampil menghulurkan bantuan kepada penghuninya.

Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai membawa sumbangan barangan dapur ke rumah orang tua ‘Rumah Kasih Charity Homes’ di Batu 4, Jalan Gombak bersama penderma sumbangan KRT Kg Lee Kong Chian dan Gurdwara Sai Sentul.

Sambil berbual, Andre mendapati pengurusnya Encik Fong dan semua penghuni belum lagi mendapat vaksin, walaupun usia mereka telah melebihi 60 tahun. Mereka masih lagi menunggu meskipun telah berbulan-bulan berdaftar dalam MySejahtera.

Encik Fong tidak keseorangan. Sepanjang bulan Andre Lai dan KEADILAN Wangsa Maju bertungkus lumus untuk mengesan tarikh temujanji vaksinasi penduduk warga emas di Parlimen Wangsa Maju, ramai antara mereka walaupun telah berumur 70 tahun masih tidak mendapat tarikh lagi.

Andre Lai sebelum ini juga menerima panggilan daripada sebuah persatuan kebajikan bahawa mereka tidak mendapat lagi kelulusan untuk beroperasi sehingga semua pekerja diberi vaksinasi penuh. Pengurusnya MG (bukan nama sebenar), pihak beliau telah menghantar permohonan kepada JKVAV, namun tidak mendapat apa-apa maklumbalas.

Perlaksanaan FMCO bermula pada 1 Jun, mendapat banyak reaksi akibat negatif. Dari SOP yang sering bercanggah sehingga permohonan MITI yang bercelaru, selain daripada peniaga, ramai lagi pengendali pusat kebajikan seperti Encik Fong dan MG yang sedia berkhidmat dalam usaha kemanusian juga telah terjejas. Juga ketinggalan para pengamal media yang sering turun padang, yang masih tidak mendapat keutamaan vaksinasi.

Berdasarkan kenyataan media Ahli Parlimen Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Wangsa Maju pada 15 Jun 2021, beliau seperti MP pembangkang yang lain tidak dibenarkan menghadiri semua mesyuarat dan aktiviti berkaitan dengan pandemik ini. Mereka juga tidak diberi peluang untuk manfaatkan inisiatif kerajaan kepada rakyat jelata.

Statistik menunjukkan, walaupun adanya PPV mega didirikan, Malaysia hanya mencatatkan hanya 12% penduduk telah divaksin sehingga kini.

Proklamasi darurat yang bermula pada Januari 2021, sepatutnya boleh digunakan untuk menjalankan saringan dan vaksinasi secara besar-besaran, namun Malaysia hanya melihat sedikit peningkatan, 6 minggu sebelum tamatnya darurat pada Ogos 2021.

Semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, kebanyakkan usaha kemanusian ditumpu kepada pesakit dan pasukan barisan hadapan sahaja. Itupun kebanyakkan bantuan daripada syarikat persendirian, korporat dan parti politik pembangkang seperti KEADILAN.

Namun, satu-satunya sumbangan yang mereka tidak mampu buat adalah vaksin, yang terletak dibawah kawalan mutlak Kementerian MOSTI.

Golongan barisan hadapan seperti pengamal media dan pengurusan kebajikan, sepatutnya mendapat keutamaan. Tetapi mereka juga terpaksa melakukan pendaftaran berkali ganda melalui MySejahtera untuk PICK, program AstraZeneca dan pendaftaran vaksinasi yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti di PPR bawah DBKL minggu yang lepas.

Adakah kerajaan wajar diberi kepercayaan lagi, setelah program vaksinasi yang masih jauh dari objektif? Ya, keputusan terletak diatas kebijaksanaan pemerintah. Namun hakikatnya, rakyat Malaysia dijadikan tebusan akibat haloba mereka yang berkuasa.

KDYMM Majlis Raja Raja telah bertitah pada 16hb Jun 2021. Vaksinasi harus dipercepatkan. Bagi saya, peralihan kuasa lebih perlu dipercepatkan.

Andre Lai
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju

* Andre telah mendapat suntikan AZ pada 16hb Jun 2021

Sumber: Media Rania

https://www.mediarania.com/2021/06/25/masih-ramai-warga-emas-tidak-dapat-perhatian-vaksinasi/