Program Kebun Komuniti isi masa lapang membuahkan hasil

Program Kebun Komuniti di Jalan Madrasah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur asalnya dilakukan untuk mengisi masa lapang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Bagi Khair Nasaruddin yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Gombak Setia, antara peserta terawal mengusahakan kebun itu, program tersebut telah merapatkan hubungan antara jiran tetangga di kawasan berkenaan.

“Terdapat banyak kawasan kosong yang penuh dengan semak samun. Oleh itu, selain daripada dapat mengisi masa, kami boleh memanfaatkan penggunaan tanah selain daripada mencantikkan kawasan,” katanya.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai Ahli Parlimen kawasan berkenaan Datin Paduka Dr Tan Yew Kew telah memuji usaha penduduk setempat itu

Baru-baru ini, katanya, Dr Tan melawat kebun komuniti berkenaan dan diminta merasmikannya dengan menanam sebatang pokok durian belanda sebelum diikuti majlis BBQ bersama penduduk.

“Walaupun kami tidak ada lagi peruntukkan kerajaan seperti dulu, tetapi saya tetap berusaha dan memberi komitmen terhadap penduduk Wangsa Maju.

“Dengan sumbangan ini, saya berharap boleh membantu mendapatkan baja bebas kimia dan kemudahan kepada semua,” kata Dr Tan yang memperuntukkan sumbangan kewangan kepada pengusaha kebun terbabit.

Manakala Andre pula berkata, majlis yang mengumpulkan 40 orang penduduk setempat itu mampu mengeratkan perasaan muhibah antara semasa kaum.

“Walaupun ia program sederhana, namun saya percaya ia boleh mengeratkan lagi hubungan muhibbah antara penduduk setempat,” katanya.

Program ini turut disertai oleh cik Devika, Ketua Wanita KEADILAN Ranting Rumah Pangsa DBKL dan saidara Hassan, Pengerusi KRT PPR Gombak Setia.

Jalan Madrasah merupakan jalan utama kepada beberapa projek perumahan awam seperti PPR Gombak Setia, PPR Sri Kedah dan PPR Sri Langkawi 1 / 2.

Sumber: Suara KEADILAN
https://www.suarakeadilan.my/post/program-kebun-komuniti-isi-masa-lapang-membuahkan-hasil