Sambutan Tahun Baru Cina bersama LAI amat berjaya

Sambutan Tahun Baru Cina Pasar Pagi Prima Setapak (Teratai Mewah) berlangsung dengan berjaya pada 16 Februari 2024 lepas di tapak parkir pasar.

Satu sambutan yang cukup bermakna, bukan sahaja program disambut pada hari ke 7 tahun baru (hari yang dikenali sebagai hari jadi manusia mengikut lagenda) tetapi ia adalah satu sambutan untuk menyantuni komuniti berbilang kaum.

Untuk saya dan kawan-kawan peniaga di pasar, tempat ini mempunyai nilai sentimental. Saya masih ingat, semasa saya baru berkecimpung di Wangsa Maju sebagai pemimpin KEADILAN, pasar ini merupakan projek besar pertama yang saya uruskan bersama Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju. Pasar ini dipindah dari tapak asal di Teratai Mewah, yang mana kini dikenal pasti sebagai salah satu stesen MRT3. Proses pemindahan cukup susah, kerana tapak ini masa itu, adalah tanah gersang dan penuh dengan semak samun. Naiktaraf infrastruktur telah dijalankan, dan pemindahan dimuktamadkan pada 26 Julai 2018.

Pelbagai cabaran yang masih dihadapi oleh para penjaja, termasuk isu perlesenan dan penguatkuasaan DBKL. Namun, semenjak saya dilantik menjadi Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, saya meneruskan usaha naiktaraf pasar dengan kerjasama daripada Jabatan Perlesenan (JPPP), Jabatan Pernilaian (JPPJH) dan DAtuk Bandar sendiri. Ia adalah selaras dengan aspirasi YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang telah melancarkan Lestari Niaga tahun lepas, untuk menjadikan peniaga kecil-kecilan lebih menyerlah di Bandaraya Kuala Lumpur.

Anggaran makanan halal yang disediakan untuk 2,000 orang, dan makanan yang disediakan habis dihidangkan kepada semua. Persembahan tarian singa akrobatik, persembahan nyanyian serta tarian komuniti setempat menghiburkan para hadiran yang datang hari itu. Sememangnya, semua amat gembira dan telah lama tidak menghadiri program yang meriah sebegini.

Pihak persatuan pasar menetapkan program untuk akar umbi sahaja, maka beberapa kenalan rapat telah saya jemput ke program. Mereka mungkin VIP atau mempunyai status sosial namun mereka hadir sebagai kawan saya. Antaranya adalah Datuk Sabtu Ketua Amanah Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan mantan MP Wangsa Maju, YB Hee Loy Sian Pengerusi SWCorp, YB Chan Ming Kai Setiausaha Politik Perdana Menteri, David Cheong ADUN Kajang, Carmen & Jaya Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur serta semua pemimpin komuniti setempat yang hadir.

Pengerusi Oh Boon Huat dan saya selaku penaung persatuan penduduk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat sama. Terima kasih kepada DBKL sekali lagi atas sumbangan makanan. Juga, tidak dilupakan mereka sukarelawan KEADILAN yang datang menolong dan media yang datang membuat liputan.