Selamat Hari Natal & Selamat Bercuti – Andre Lai

SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT HARI NATAL KEPADA MALAYSIA!

25 Disember setiap tahun merupakan hari yang paling penting kepada umat Kristian. Kepada mereka yang lain, ia juga permulaan hari-hari terakhir sebelum kami berganjak ke tahun yang seterusnya.

Masa tahun ini, tidak kira Kristian atau tidak, adalah masa yang penuh dengan kegembiraan dan cuti bersama keluarga. Kami tiada musim sejuk, tetapi kami sering nampak tradisi Hari Natal seperti pokok Krismas dan rusa kutub di gedung membeli belah. Sesetengah daripada kami mungkin bercuti bersama keluarga. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang lama tidak berjumpa. Kepada yang kemampuan, mungkin boleh menikmati cuaca sejuk Krismas di negara barat.

Sebagai seorang Kristian, ia juga musim yang amat bermakna untuk saya. Kepada yang mengenali saya, pasti pernah melihat saya memakai topi santa di tempat awam, membuka lagu Krismas dan hiasan Krismas dalam pejabat saya.

Namun, apa sahaja yang kita lakukan, jangan lupa pada mereka yang masih berada dalam keadaan daif. Sementara ada yang tengah bergembira menikmati rezeki duniawi, menghulur pertolongan kepada mereka memerlukan juga adalah sesuatu menggembirakan. Ramai pada masa ini, memilih untuk menolong mangsa banjir di Pantai Timur meskipun ia adalah cuti akhir tahun. Hari Natal secara tradisi, adalah era untuk meraikan mesej belas kasihan dan menunjukkan kepada orang yang kita mengasihi mereka. Ia adalah musim untuk memberi dan memberi kembali, daripada menyokong orang yang memerlukan dalam komuniti kita tanpa mengira bangsa dan agama.

Hari Natal tahun ini diberkati dengan Perdana Menteri yang baru dan kerajaan perpaduan. Untuk rakyat Malaysia, tidak kira Kristian atau tidak, ini adalah berita baik untuk semua. Perpaduan dan agenda reformasi amat diperlukan di saat-saat kini untuk memastikan negara kembali kepada landasan yang betul.

Semoga di bawah pentadbiran kerajaan YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Malaysia boleh terus diberkati dengan banyak lagi berita baik dan melangkah ke era kegemilangan.

Dari Lai kepada semua – salam Hari Natal kepada umat Kristian dan selamat bercuti kepada semua.

Lai Chen Heng (Andre)
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju