Selamat Menunaikan Ibadat Thaipusam 2024

KEMENANGAN ATAS KEJAHATAN INTIPATI REFORMASI SEBAGAI BATU ASAS MALAYSIA MADANI

Pada 25hb Januari tahun ini, umat Hindu, khususnya dari etnik Tamil berkumpul untuk merayakan Thaipusam. Ia merupakan antara perayaan yang paling signifikan dalam ajaran Hindu, untuk memperingati peristiwa agung kemenangan Dewa Murugan terhadap kuasa jahat iblis Surapadman. Intipati asal-usul sambutan, bersangkut paut dengan keinginan menentang kuasa yang menzalimi. Ini melambangkan kemenangan kebaikan atas kejahatan.

Setiap tahun, saya turut meraikan bersama kemeriahan sambutan, bersama ahli-ahli cabang Wangsa Maju yang menyambutkan. Di Jalan Ipoh, Timbalan Ketua AMK Paarthydesan Ganesan dan Setiausaha AMK, Krisna Kumar Ganesan telah menetapkan ‘Thaneer Phantar’ di lokasi strategik untuk kami memberi air kepada penganut yang menunaikan ibadat; manakala Setiausaha Pengelola Cabang S.Maanoj dan Ketua Penerangan berada di kuil utama Dewa Murugan di Batu Caves.

Thaipusam disambut oleh diaspora India dengan kemegahan di Malaysia; boleh dikatakan lebih besar daripada India. Thaipusam di Malaysia bukan hanya tentang perayaan oleh komuniti Hindu, tetapi juga satu ujian litmus untuk mengekalkan keharmonian antara semua rakyat Malaysia. Saya masih ingat, insiden pengagihan burger daging di luar kuil sedangkan umat Hindu tidak makan daging pada hari Thaipusam. Begitu juga baru-baru ini, Malaysia dikejut dengan kenyataan berbaur 3R daripada sesetengah pemimpin yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Pada masa yang mencabar inilah, kita harus lebih mengambil peluang ini untuk menghargai kepelbagaian budaya dan agama yang ada di negara kita, yang membuat Malaysia unik dan kuat. Dalam konteks Reformasi, kita dapat melihat ia sejajar dengan perjuangan rakyat Malaysia untuk keadilan dan ketelusan. Sama seperti Dewa Murugan berjuang melawan kejahatan, rakyat Malaysia berjuang untuk reformasi dan perubahan positif dalam masyarakat. Kedua-duanya menunjukkan kekuatan semangat manusia dan kepercayaan pada kebaikan dan keadilan. Kini, agenda reformasi telah memaju pembaharuan pentadbiran negara di bawah kerajaan perpaduan Malaysia Madani.

Sering saya menerangkan kepada semua, bahawa meraikan kepelbagaian, telah menjadi intipati utama semenjak pengasasan reformasi KEADILAN. Pemantapan reformasi, justeru menjadi asas penubuhan Malaysia Madani yang telah bertapak dengan kukuh di seluruh negara. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden KEADILAN telah menetapkan Malaysia Madani sebagai loncatan untuk Malaysia ke masa hadapan yang lebih berwawasan, lebih prihatin, lebih bersatu bersama Sabah dan Sarawak.

Tidak kira moyang kita yang datang dari Nusantara, China Selatan atau Selatan India – hari ini kita serumpun sebagai sebuah keluarga Malaysia.

Selamat Menunaikan Ibadat Thaipusam kepada semua yang meraikan.

LAI CHEN HENG
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan