Selamat Ulang Tahun Pertama Lantikan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur 2023-2025

2 GENERASI AHLI LEMBAGA PENASIHAT BANDARAYA KUALA LUMPUR, NAMUN PERANAN TETAP SAMA

Menjelang satu tahun ulang tahun lantikan saya sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (ALP), saya mengajak Tan Sri Lee Lam Thye dan Datuk Tan Keng Chok untuk sesi teh tarik di Royal Selangor Golf Club.

Ramai mungkin tidak tahu, Tan Sri Lee Lam Thye memegang rekod sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur selamat 16 tahun.

Datuk Tan Keng Chok merupakan bekas Pengarah Eksekutif DBKL yang kini menjadi penasihat kepada Datuk Bandar Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Kedua-dua figura ini mempunyai jasa yang banyak terhadap perkembangan moden Bandaraya Kuala Lumpur.

Banyak kami berbincang. Fokus perbincangan menuju kepada Tan Sri Lee dalam liku-liku pengalaman beliau lebih daripada 50 tahun.

Tan Sri Lee Lam Thye tidak banyak mengungkit masa silam zaman beliau dalam politik, tetapi semenjak 1991 beliau telah banyak menyumbang jasa melalui kerja kebajikan dan mengambil peranan dalam kerajaan. Beliau merupakan perintis NIOSH dan banyak tahun berkhidmat dalam MCPF, di mana saya kini turut menjadi sebahagian daripadanya.

Di DBKL, beliau mengetuai Jawatankuasa Kebersihan dan Alam Sekitar, yang kini disandang oleh rakan setugas saya Pn Carmen Leong.

Beliau mengingatkan saya, tugasan sebagai ALP membolehkan kami melangkaui setiap kawasan di Kuala Lumpur untuk menolong Datuk Bandar dalam memajukan Kuala Lumpur sebagai ibunegara Malaysia.

Meskipun Wangsa Maju merupakan pangkalan asas saya, lantikan ALP membolehkan saya memberi nasihat dan turun padang berkhidmat kepada warga Kuala Lumpur di setiap kawasan.

Saya berpendapat sama dengan beliau, kerana saya percaya ALP adala mata dan telinga kepada DBKL. Nampak ada perubahan ketara dalam DBKL sendiri, selaras dengan reformasi institusi yang menjadi asas kepada aspirasi Malaysia Madani oleh Perdana Menteri YAB Dato Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga memberi nasihat agar kami boleh menjadi pengimbang dalam belanjawan pembangunan dan pengurusan DBKL.Bukan bertujuan untuk mengesan ketirisan, tetapi untuk menambahbaik tahap kewangan DBKL.

Pendekatan Tan Sri yang sentiasa bertenang menjadikan beliau seorang budiman dan rendah diri. Seorang pemimpin, pentadbir dan rakyat Malaysia yang baik.

Beliau menghantar satu pesanan ringkas kepada saya selepas jamuan. “Terima kasih Sdr Lai. Sessi jamuan teh petang tadi adalah positif. Kita terus berhubung demi kepentingan rakyat di KL”.

Kami merupakan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur yang berlainan zaman, namun objektif kami tetap sama, iaitu mengetengahkan kepentingan warga Kaula Lumpur.

Barisan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur sekarang menerima watikah pada 7 Julai 2023.

Selamat ulang tahun pertama kepada rakan setugas saya.

LAI CHEN HENG
Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur

merangkap
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Naib Pengerusi 1 KEADILAN Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply