Taklimat MIGRASI di Teratai Mewah

Bukan senang untuk mengurus perbadanan atau pengurusan perumahan flat yang merangkumi ratusan unit penghuni rumah.

Banyak projek mempunyai pengurusan yang tercicir, akibat kekurangan dana atas sebab penyelewengan atau mereka yang tidak membayar. Sebarang tindakan jarang berkesan kerana banyak faktor, antaranya adalah COB yang lambat bertindak. Kelemahan dalam penguatkuasaan juga menyumbang kurangnya penyelenggaraan justeru menjejas keinginan para penghuni untuk membayar bil pengurusan.

Saya percaya ia berlaku di banyak tempat.
Tengah hari semalam, saya menyertai perbincangan antara pengurusan Teratai Mewah apartment dan AirSelangor, berkenaan dengan projek MIGRASI yang disarankan oleh AirSelangor untuk memasang meter individu di setiap unit berstrata. Pihak pengurusan mendakwa mereka mengikut peraturan yang ditetapkan dalam melantik kontraktor pemasangan meter baru.

Namun, sebarangan usaha untuk mengumpul dana mendapat tendangan keras daripada penduduk yang masih lagi berada dalam kemelut pasca-pandemik, apatah lagi jumlah yang diminta untuk diperjelaskan kepada kontraktor berkos tinggi.

Akibatnya, sukar untuk program MIGRASI untuk dilaksanakan apabila kedua-dua pihak yang sentiasa berlaga.

Saya mengambil sikap neutral dalam hal ini. Saya percaya, sebagai badan berkanun yang dilantik untuk menguruskan bangunan, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan dana sentiasa mencukupi; bermaksud segala hutang tunggakkan harus dikejar dan sekiranya perlu, kemukakan bukti untuk tindakan undang undang melalui mahkamah tribunal.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan harus memperjuangkan hak penghuni sebaik mungkin, terutamanya dalam perbelanjaan. Dalam kes ini, saya percaya mereka boleh mendapatkan pengurangan kos pemasangan meter paip demi penghuni yang juga pelanggan mereka. Tidak wajar meletakkan segala tanggungjawab perbelanjaan ke atas pemilik rumah.

Hak setiap pihak tertakluk kepada Akta Pengurusan Strata. Seperti dalam pilihanraya, sekiranya pengurusan yang dilantik tidak memenuhi kriteria penduduk, mereka patut ditukar dalam pemilihan semula melalui mesyuarat tahunan.

Begitu juga COB, mereka perlu lebih proaktif dalam memantau keberkesanan setiap pengurusan residensi berstrata. Isu seperti ini sebenarnya boleh dielak.