Tiang TNB condong di Kampung Padang Balang

Ketua kampung Hj Rosden menyuarakan isu TM di Kampung Padang Balang. Baru baru ini, terdapat beberapa tiang TM condong dan merbahayakan akibat dilanggar lori. Walaupun pasukan kecemasan TM telah menyelesaikan masalah, namun isu tiang Telekom yang tidak terurus tetap ada.

Justeru itu, kami membuat satu lawatan tapak bersama pengurus zon TM Tn Hazril dan pasukan teknikal untuk meninjau masalah kabel TM berserabut di kawasan kampung. Tiang berteknokogi lama seperti ini menggunakan kabel tembaga. Lama kelamaan berat kabel ini akan menyebabkan ia kendur dan tiang semakin condong akibat beban kabel.

Menurut TM, di kawasan kampung terdapat 99 lagi pelanggang masih melanggani pakej telefoni lama, yang dijana melalui kabel tembaga. Satu cadangan yang dipersetujui oleh ketua kampung serta pihak TM, adalah menukar pakej langganan pengguna sedia ada kepada pakej Unifi baru, yang mengguna teknologi optik fiber.

Pihak TM akan menghubungi kesemua pelanggan tersebut dan anggaran proses migrasi teknologi akan mengambil masa 3-4 bulan. Selepas proses ini tamat, tiang telekomunikasi tidak akan nampak berserabut dengan kabel besar. Ia akan kelihatan lebih kemas dan ringan, kerana optik fiber yang jauh lebih kecil daripada tembaga.

Saya berterima kasih kepada pihak ketua kampung Tn Hj Roshden dan pasukan TM yang hadir demi menyelesaikan masalah penduduk bersama.